Saturday, December 13, 2008

"Hapuskan PPSMI, Beri Tumpuan Tingkatkan Literasi Murid"

Bayangkan jika sebuah sekolah rendah boleh memuatkan seramai 1,200 murid. Jika terdapat seramai 30,000 murid, bermakna sejumlah 25 buah sekolah diperlukan untuk menampung puluhan ribu murid terbabit. Malangnya, kumpulan murid itu tergolong dalam mereka yang gagal mencapai tahap minimum berkebolehan membaca, menulis dan aritmetik walaupun telah enam tahun menduduki bangku sekolah rendah. Demikianlah gambaran seramai 30,049 murid Tahun Enam yang telah melepasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008. Mereka tidak mencapai tahap literasi seperti yang dikehendaki. (Terkini - Utusan Malaysia, 13 November 2008) Di sebalik kegembiraan semua pihak bermula dari Kementerian Pelajaran, pentadbiran sekolah, ibu bapa dan murid-murid yang memperoleh sejumlah deretan A dalam penilaian tersebut, wajarkan nasib dan masa depan mereka yang masih ‘merangkak’ membaca itu dibiarkan begitu sahaja? Bagaimana mereka akan berdepan dengan persekitaran pembelajaran yang baru apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah nanti ditambah pula dengan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)? Penulis berpendapat, kedudukan mereka belum termasuk lagi murid yang berada di atas pagar atau sekadar nasib mendapat gred C atau B dalam UPSR terutama bagi subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah mereka mengalami halangan bahasa sehingga tidak lancar membaca, bagaimana mungkin mereka dapat memahami istilah dan konsep berkaitan kandungan kedua-dua matapelajaran yang diajarkan oleh guru? Akhirnya, mereka yang cenderung putus asa ini akan terjebak dalam masalah pelanggaran disiplin di sekolah dan tidak mustahil menjadi ‘tunas-tunas’ agen masalah sosial pada masa depan. Itulah sebabnya gesaan ahli akademik agar kaedah dan pendekatan dalam pengajaran bahasa sama ada bagi mata pelajaran Bahasa Melayu termasuklah Bahasa Inggeris perlu dirombak. Ini penting agar generasi pelajar kita dapat menguasai kemahiran asas dalam membaca dan menulis. Banyak kajian linguistik dan pendidikan membuktikan pengajaran menggunakan bahasa ibunda dan dalam konteks negara ini semestinya dalam bahasa kebangsaan ternyata lebih berkesan. J.W. Wood (2002) misalnya berpendapat menggunakan bahasa kedua dalam pengajaran akan mengambil masa yang lama dan ini menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menguasai ilmu. Persoalannya, tidakkah PPSMI yang dijalankan kini hanya mendorong pelajar terus sahaja melemparkan buku kerana bosan tidak memahami apa yang dipelajari? Keperluan melakukan rombakan dalam kaedah pengajaran bahasa begitu mendesak ditambah dengan dapatan yang menunjukkan kadar literasi membaca pada tahun 2006 misalnya dalam kalangan rakyat negara ini berusia 10 tahun ke atas turun satu peratus kepada 92 peratus berbanding tahun sebelumnya. (Utusan Malaysia, 15 Julai 2006) Tidakkah kita terfikir sebenarnya ada banyak perkara tidak kena apabila melihatkan rendahnya penguasaan bahasa Inggeris meskipun telah 11 tahun belajar subjek itu di sekolah rendah dan sekolah menengah? Jangankan bahasa Inggeris, jika kita perhatikan bentuk pengolahan ayat atau karangan sebahagian besar mereka dalam bahasa Melayu pun begitu mengecewakan tidak mencapai tahap yang sepatutnya lantaran “miskin” perbendaraan kata selain kesilapan ejaan di sana-sini. Melihat cara mereka bercakap atau menjawab soalan pun sudah kita ketahui sejauh mana ‘bank’ kosa kata mereka kerana belum benar-benar menguasai bahasa Melayu. Atas rasional inilah, maka PPSMI dilihat sebagai tidak relevan bukan sahaja kerana mengikis fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu malah menjadikan perhatian, tumpuan dan pemikiran generasi akan datang semakin bercelaru. Tambahan pula analisis UPSR tahun ini juga memperlihatkan mata pelajaran Sains dan Matematik yang telah mulai diajar sejak mereka di Tahun 1 tidak menunjukkan peningkatan signifikan dengan gred cemerlang (Mutakhir - Berita Harian, 13 November 2008). Berhubung dengan impak daripada PPSMI, jika membaca pun tidak mampu tentulah mustahil untuk lebih 30,000 murid UPSR itu dapat menguasai ilmu berkaitan sains dan matematik apabila di sekolah menengah kelak. Menyedari pentingnya masa depan modal insan negara ini pada masa akan datang, PPSMI harus dimansuhkan jika kita mahu mereka dapat memberi manfaat menyumbang khidmat kepada bangsa dan negara. Aspek literasi yang melibatkan kemahiran kognitif dalam membaca, menulis dan aritmetik perlu diberi perhatian agar generasi kita pada masa depan memiliki keterampilan pengucapan, kreativiti dan pemikiran yang kritis dalam bahasa. Dalam masa yang sama kaedah mengajar bahasa baik Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris perlu berubah daripada terlalu kaku berorientasikan peperiksaan kepada bentuk pendekatan yang benar-benar membolehkan murid menguasai kemahiran berbahasa dalam kedua-dua bahasa tersebut. Oleh: Arif Atan

1 comment:

Barisan Cendekiawan Melayu Muda said...

Perlaksanaan PPSMI perlu dihentikan demi memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan,.Tidak ada mafaat yang dapat ditimba daripada dasa PPSMI yang terlaksana sekian lama ini,..