Saturday, December 13, 2008

"Kecelaruan Makna Perpaduan, Patriotisme & Nasionalisme"

Adakah rakyat Malaysia hari ini benar-benar faham erti kemerdekaan sehingga wujudnya mesej yang salah kepada generasi muda akan makna kemerdekaan, perpaduan dan bangsa Malaysia sebenarnya? Pada ketika generasi muda dianggap lunturnya semangat cintakan negara iaitu patriotisme dan tipisnya semangat kebangsaan iaitu nasionalisme, ada baiknya kita menilai sejauh mana proses-proses sosialisasi iaitu asuhan kita selama ini kepada mereka yang nampaknya dari setahun ke setahun semakin bercelaru. Tidakkah kita sedar impak perulangan saban tahun imej Tunku Abdul Rahman menjulang tangan melaungkan 'Merdeka!' serta rakaman video lambaian rombongan kemerdekaan ke Britain tanpa diimbangi figura dan video yang memaparkan pertarungan pahlawan berperang melawan panjajah dan komunis akan memberikan tanggapan di kalangan generasi muda bahawa 'begitu mudahnya mencapai kemerdekaan maka apa pentingnya sangat kemerdekaan itu diingati'? Usah salahkan generasi muda jika mereka semakin berkiblatkan budaya dan hiburan dari negara Barat, Hong Kong dan India kerana kita sendiri gagal menanamkan semangat perjuangan dan penghayatan sejarah sebenar di dalam jiwa mereka. Begitu juga aspek kenegaraan dan nasionalisme yang terasnya berpegang kuat pada pemilihan satu bahasa sebagai penyatu kepada kepelbagaian ciri kaum dan budaya di sesebuah negara. Jika aspek ini diberi penekanan seperti yang dapat dihayati melalui dendangan lagu-lagu patriotik dahulu tetapi 'aura' tersebut kini lebih kepada pesta-pestaan semata-mata dengan percampuran budaya dan bahasa dari segi alatan muzik dan senikata yang digunakan. Malah, ungkapan 'perpaduan melalui kepelbagaian' begitu ditekankan sehingga mengabaikan hakikat sebenar pengertian nasionalisme yang terletak pada sejauh mana kita mengukuhkan semangat kebangsaan berteraskan bahasa dan kebudayaan asal sesebuah tanah air seperti yang ditekankan oleh sarjana Hans Kohn. Ke mana perginya semangat Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan asas-asas kenegaraan yang disediakan oleh negarawan dan kepimpinan Tun Abdul Razak dalam kita ghairah menyambut kemerdekaan ke-51 ini? Adakah wajar lagu Muhibah yang asalnya pada dekad 70-an dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan sahaja dengan antara ungkapannya berbunyi 'satu bahasa' dan 'hapuskanlah jurang perbezaan' didendangkan semula selepas separuh abad negara ini merdeka dalam bahasa Cina dan Tamil seperti yang dapat disaksikan dalam perbarisan di Dataran Merdeka pagi ini? Walhal, keadaan tersebut samalah seperti tindakan Gerakan menaikkan papan tanda jalan pelbagai bahasa di Pulau Pinang yang sebenarnya mahu menyamatarafkan bahasa kebangsaan dengan bahasa-bahasa vernakular yang lain. Jika demikian halnya, apa ertinya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sedangkan dalam acara perbarisan kemerdekaan yang merupakan satu program rasmi pun, bahasa-bahasa lain diangkat sama taraf dengan bahasa kebangsaan? Begitu juga apabila meneliti iklan-iklan kemerdekaan yang disiarkan di dalam akhbar tahun ini. Amatlah membimbangkan jika sebahagian besar iklan tersebut dijadikan pengukur sejauh mana tahap pemahaman rakyat terhadap konsep bangsa, perpaduan dan kemajuan. Misalnya, antara ungkapan dalam iklan Sapura yang berbunyi 'setiap bahasa gemilang, setiap bangsa terbilang' tentu sekali ditafsirkan sebagai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara Malaysia ini bukanlah satu-satunya bahasa gemilang kerana bahasa-bahasa lain iaitu bahasa Mandarin, Hokkien, Tamil dan Inggeris juga adalah bahasa yang gemilang. Ungkapan 'setiap bangsa terbilang' juga seolah-olah membayangkan ada banyak lagi 'bangsa' lain yang juga terbilang di negara ini selain bangsa Malaysia. Alangkah hinanya bangsa Malaysia jika pendatang asing yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu juga pun mahu diiktiraf terbilang dalam kita mengingati kemerdekaan negara ini? Jika yang dimaksudkan dalam ungkapan itu mahu merujuk kepada kaum Cina dan India sekalipun, mengapa kita masih mahu menyambung legasi 'modus operandi' kolonial British yang menggunakan dasar pecah dan perintah dengan memperkatakan sesuatu mengikut 'kotak-kotak' kaum? Kekeliruan terhadap pentingnya mengangkat bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan bukannya bahasa-bahasa lain juga dapat dilihat dalam iklan Proton. Adakah hanya kerana 'cakap teh tarik kurang manis dalam bahasa Tamil baru saya sedar erti muhibah yang sebenarnya'? Mengapa tidak ditekankan bahawa semua rakyat Malaysia berbilang kaum menyedari bercakap tentang apa sekali pun dalam bahasa kebangsaan baru kita semua sedar erti muhibah yang sebenarnya? Bagi iklan Panasonic yang menjadikan air batu campur (ABC) sebagai cerminan perpaduan yang menjadi teras kemajuan dan kejayaan negara ini lantaran kepelbagaian ramuan di dalamnya sewajarnya difahami dalam kerangka yang lebih luas lagi oleh setiap 27 juta rakyat Malaysia hari ini. Tidak sedarkah kita bahawa dalam banyaknya campuran ABC itu, ada satu rasa yang kita nikmati iaitu manis bukannya rasa manis hadir serentak dengan rasa masin, pedas, masam dan pahit? Ini bermakna dalam konteks bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum ini mesti ada satu faktor pengikat kepada erti sebenar perpaduan. Mustahil perpaduan boleh dicapai jika wujud terlalu banyak kepelbagaian tanpa kawalan. Sedangkan dalam alunan lagu pun jika terlalu banyak alat muzik yang digunakan, lagu yang didengari pasti kedengaran tidak harmoni di telinga apatah lagi dalam konteks kita sebagai bangsa Malaysia. Itulah sebabnya, kepelbagaian kaum di negara ini perlu diletakkan landasannya pada bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan yang paksinya terletak pada keMelayuan sebagai teras sepertimana yang terkandung dalam pelaksanaan dasar-dasar kebangsaan yang digariskan sebelum ini. Jika tidak, sampai bila pun perpaduan yang dihajatkan tidak akan tercapai sebaliknya jurang interaksi antara kaum semakin melebar lantaran penekanan yang salah terhadap konsep dan tindakan kita tentang kemerdekaan, perpaduan negara bangsa, pembentukan bangsa Malaysia serta nilai patriotisme dan nasionalisme. Oleh: Arif Atan

No comments: