Monday, January 12, 2009

"Palestin Diserang Kerana Tanah"

JENAYAH perang oleh rejim Zionis Israel terhadap 1.5 juta penduduk di wilayah Tebing Gaza yang masuk minggu ketiga begitu meruntun jiwa rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khasnya.

Umumnya, masyarakat Melayu begitu sensitif terhadap isu Palestin sedangkan pada masa yang sama lebih 300 juta jiwa di 23 buah negara Arab sendiri tidak peduli bangsanya 'diratah' di depan mata. Majoriti rejim dan kuasa Arab termasuk Arab Saudi bacul untuk bertindak mematahkan kebiadapan Zionis. Mengapa sehingga kini mereka tidak berpakat menghantar beramai-ramai tentera dan rakyat masing-masing menentang Israel?

Apa yang berlaku, kerajaan Emiriah Arab Bersatu tetap selesa 'bertapa' di Burj al-Arab. Mesir dan Syria pula belum bersedia membuka pintu untuk pelarian Palestin bagi tujuan perlindungan. Malah, Jordan dan Turki masih mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis. Ironinya, Hugo Chavez pula bertindak sebagai pemimpin 'jantan' sebenar apabila menghalau Duta Israel ke Venezuela, Shlomo Cohen dan kakitangan kedutaan itu pada 6 Januari lalu.

Kita perlu benar-benar memahami situasi hujanan puluhan bedilan peluru dan mortar tentera Israel sejak 27 Disember itu secara lebih menyeluruh. Ini kerana 'banjir' darah di Semenanjung Gaza bukan sekadar tindakan kebinatangan Zionis untuk memerangi Islam.

Malah, Gaza yang luasnya hanya 360 km persegi itu juga tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan kepada Israel. Israel sebenarnya laparkan tanah atas agenda mahu meluaskan lagi wilayah Israel Raya yang mula terbina secara haram pada 1948. Walaupun keturunan bangsa Palestin telah lama menetap di tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel datang tetapi tanah Palestin tetap didakwa hak nenek moyang mereka.

Sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah rakyat tanah Palestin yang terdiri daripada pelbagai agama, bahasa dan bangsa hidup aman dan selamat selama lebih kurang 400 tahun. Oleh sebab itu, apa yang berlaku di Tebing Gaza mesti dijadikan iktibar betapa pentingnya kedaulatan tanah milik keluarga, bangsa dan negara dipertahankan.

Persoalannya, adakah kita mengambil iktibar daripada serangan Israel dengan memelihara hak milik dan kelangsungan tanah milik kita? Baik budi yang tidak kena pada tempatnya mesti dielak sebelum hak milik tanah yang masih berbaki di tangan kita tidak tergadai begitu sahaja.

Tindakan kerajaan negeri Perak misalnya yang begitu mudah memberikan tanah kepada bukan Melayu amat berisiko menjerumuskan bangsa Melayu ke kancah yang sama seperti yang ditempuhi oleh bangsa Palestin hari ini. Begitu juga 'kemaraan' mudah para pelabur dari Singapura yang disokong kuat di belakangnya Israel melalui wilayah pembangunan di selatan tanah air.

Hakikatnya, generasi cucu cicit kita pada masa akan datang juga tidak mustahil akan dianiaya, dihalau dan dibunuh seperti mereka di Palestin jika pemimpin dan bangsa kita gagal memahami apa yang tersirat di sebalik episod pilu tangisan dan teriakan Gaza hari ini. Disediakan Oleh: Arif Atan

1 comment:

Anonymous said...

"300 juta jiwa.." angka ini kurang adil. Rakyat negara-negara Arab memberi sumbangan yang banyak kepada Palestin. Kurang adil kita berkata mereka tidak peduli sedangkan apa yang kita ketahui hanyalah sekadar dasar-dasar yang digubal para pemerintah negara-negara tersebut.

-jibam