Thursday, December 11, 2008

Dimensi keris Melayu


Di dalam keris yang sebilah,

Terkandung tuah dan maruah,

Yang tuahnya selilit kepala,

Yang maruahnya selilit pinggang,

Yang tersembunyi di dalam mata,

Yang tersimpan dalam pamor,

Yang tersorok dalam sepuhan,

Yang terselindung dalam besi,

Yang terpatri dalam baja,

Yang terpegang dalam hulu,

Yang terlekat dalam sarung.


Baris-baris puisi di atas dilafazkan oleh Bapak Tenas Effendy, seorang budayawan Riau sewaktu membentangkan kertas kerja dalam Seminar Keris Nusantara yang dianjurkan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dua minggu yang lalu.
Tenas Effendy terkenal dengan hasil-hasil tulisannya merakamkan ungkapan-ungkapan tradisional Melayu Riau yang kaya dengan nasihat dan pengajaran. Dalam kalangan masyarakat pembaca di Malaysia dia terkenal dengan bukunya yang berjudul Pemimpin dalam Ungkapan Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sejak diedar mulai tahun 2000, buku ini telah menjadi rujukan popular oleh sebilangan juruacara (MC) yang gemar berseloka sewaktu mengelolakan majlis atau oleh para pemidato sewaktu berceramah atau oleh para penulis kertas kerja yang ingin bermadah tentang aspek-aspek kepemimpinan.
Nama Tenas Effendy adalah singkatan daripada Tengku Nashruddin Tengku Effendy, berasal dari keturunan bangsawan Riau di pulau Sumatera. Tetapi dia masyhur di seantero Nusantara. Kira-kira 12 tahun yang silam beliau pernah menjadi penulis tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada tahun 2006 dia dianugerahkan gelaran kehormat doktor persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan semenjak setahun yang lalu beliau bermastautin di Universiti Malaya sebagai Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu.
Baris-baris puisi tentang dimensi-dimensi keris yang diketengahkan oleh Tenas Effendy dalam seminar tersebut telah mengingatkan kita sekali lagi bahawa keris adalah warisan keramat umat Melayu yang tidak semestinya dilihat sebagai alat senjata semata-mata.
Malah lebih daripada itu, keris adalah satu warisan budaya yang pelbagai dimensi sifatnya, mempunyai nilai-nilai tersirat dan tersurat serta mengandungi unsur-unsur simbolik yang sakral dan temporal.
Di permulaan kertas kerjanya, Tenas Effendy menegaskan: "Bagi orang Melayu, keris bukan sahaja satu senjata lahiriah untuk mempertahankan diri, tetapi juga menjadi simbol tertentu yang mengandung berbagai falsafah dan makna, yang erat kaitannya dengan adat resam dan budaya bangsa."
Tenas Effendy menyentuh secara ringkas sekurang-kurangnya sembilan peranan yang dikaitkan dengan keris dalam kehidupan budaya umat Melayu. Secara umum keris dianggap sebagai simbol 'tuah' dan 'maruah'.
Peranan-peranan simbolik yang lain yang dikaitkan dengan keris ialah sebagai simbol kejantanan, simbol harga diri, simbol jati diri, simbol kedaulatan (wibawa dan kekuasaan), keris sebagai pengganti batang tubuh (umpamanya dalam upacara persandingan), keris sebagai senjata dan penjaga diri, keris sebagai pelengkap pakaian.
Tiap-tiap satu daripada pelbagai peranan keris tersebut dihuraikan oleh Tenas Effendy dengan ayat-ayat berbentuk gurindam dan seloka yang kebanyakannya mengandungi makna yang dalam, walau pun kadang-kadang terdapat baris-baris ayat seperti direka-reka. Tetapi yang lebih penting ialah beliau membetulkan persepsi dan perspektif kita tentang keris.
Sekali gus huraian Tenas Effendy menyahut kemusykilan dan kerunsingan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan yang keluh-kesah tentang 'nasib' merudum yang menimpa keris sejak akhir-akhir ini akibat kedangkalan fahaman sesetengah pihak yang menganggap keris tak lebih daripada sebilah senjata.
Dalam ucapan perasmian seminar, antara lain Zainal berkata: "Keris dan makna perlambangannya sudah mula tidak difahami. Maruah, kedaulatan, tuah dan kehalusan keris tidak dilihat lagi."
Sebelum itu Zainal mengingatkan bahawa keris dalam pemikiran Melayu merupakan objek yang 'hidup', satu struktur yang saling melengkapi. Katanya: "Sebagai satu lambang kemelayuan, di dalam 'diri' keris itu ada tuah dan maruah, membunuh dan mengubat, kehalusan dan kekasaran, kekuatan dan kelembutan.
"Namun semenjak kebelakangan ini fungsi keris telah dimatikan oleh orang Melayu sendiri dan juga oleh orang lain. Semasa British mula bertapak di negeri Melayu, British melarang penggunaan keris, khuatir Melayu mengamuk.
"Apabila Pergerakan Pemuda UMNO menghunus dan mengucup keris di perhimpunan mereka sebagai lambang kemelayuan dan perjuangan, parti politik Cina rasa terperanjat apakah sebenar maksud peristiwa tersebut.
"Orang Cina memberikan tafsiran yang berbeza dari makna menghunus dan mengucup keris, apakah akan kembali mengamuk Melayu. Pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO kemudiannya meminta maaf lantaran kekalahan parti politik berkenaan di beberapa kawasan pilihan raya di kawasan bandar."
Rujukan Zainal terhadap episod pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO 'menghunus dan mencium' keris dan kemudian 'meminta maaf' itu telah diperpanjang menjadi bahan bualan dan gosip-gosip politik sewaktu seminar itu berhenti rehat selepas upacara perasmian.
Tetapi lebih daripada sekadar bahan-bahan bualan kecil atau gosip-gosip politik, Akademi Pengajian Melayu ingin melihat kewujudan keris dari perspektif yang lebih serius. Kewujudan keris ingin dikupas sebagai mempunyai pelbagai dimensi dan peranannya yang pelbagai fungsi.
Sehubungan itulah seminar tersebut dianjurkan sebagai satu usaha "menggali, melestari dan mengangkat keris sebagai warisan kebudayaan Melayu agar terus kekal sebagai lambang kedaulatan Malaysia."
Terangkum dalam program seminar selama dua hari itu ialah pembentangan kertas kerja, diskusi panel, demonstrasi dan pameran serba serbi tentang keris. Sesuai dengan label 'Nusantara' pada namanya, seminar itu dihadiri oleh para peserta dan pembentang kertas kerja dari tanah Bugis, pulau Jawa (Jakarta dan Jogjakarta), Riau (Bangkinang dan Pekan Baru) serta Singapura.
Dari Semenanjung Tanah Melayu, para pesertanya bukan sahaja orang-orang akademik, malah juga 'pandai besi', 'pandai perak' dan 'pandai kayu' yang masing-masing mempunyai kemahiran tersendiri dalam mewujudkan sebilah keris yang lengkap (meliputi mata keris, hulu atau kepala keris serta sarung keris).
Selain daripada pelbagai dimensi dan pelbagai fungsi seperti yang dibincangkan oleh Pak Tenas dan Zainal, seminar tersebut juga melihat keris sebagai bahan koleksi dan sebagai produk pelancongan.
Selain itu, saya menganggap bahawa yang tersirat di sebalik hasrat menganjurkan seminar dua hari itu ialah rasa tanggung jawab ilmuwan dan budayawan Melayu untuk mengembalikan 'kedudukan dan martabat" keris ke tempat yang wajar.
Inisiatif Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya memang patut dialu-alukan setelah 'warisan budaya' Melayu yang sangat istimewa itu menjadi mangsa 'prasangka', difitnah dan dipersendakan semenjak setahun yang lalu oleh orang asing dan sesetengah pemimpin Melayu sendiri.(
Seminar Keris Melayu) Disediakan Oleh : Mohd Syuhaidi

2 comments:

Barisan Cendekiawan Melayu Muda said...

Keris adalah lambang kedaulatan bangsa, TANIAH APMUM kerana berjaya menganjurkan seminar KERIS..

Anonymous said...

SERI KERIS WARISAN MELAYU

Dari sinar panas mentari
Membelah ombak bergelora
Terbentuk seri keris Melayu
Berseludang kelapa tua…
Ukiran tangan Hang Tuah
Di tepian sungai Duyung
Kampung lahirnya dilafazkan sumpah
Bumi Melayu Melaka Bertuah

Tujuh petala langit dan tujuh petala bumi
Menjadi saksi keagungan Allah
Bangsa Melayu taat setia agamaNya
Titis darah warisan Melayu
Menjadi ketua pemerintahnya…
Tapi … jangan terlupa
Sumpah telaga kemarau airnya
Jika bangsa Melayu tak memerintahnya..

Bukan atas nama aku berdiri…
Bukan atas bangsa aku bersumpah
Dengan nama Allah Maha Esa dan Nabi
Tanah Duyung menyaksikan sumpah
Hulubalang Melayu bersaudara bersatu
Lafazkan " WARISAN ANAK MELAYU"

Nukilan : H.Jebat9